Muhyiddin mohon tiga pertuduhan pengubahan haram dibatalkan

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengemukakan permohonan di Mahkamah Sesyen di sini agar tiga pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM200 juta berkaitan Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) yang dihadapinya, digugurkan. Peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Muhyiddin memaklumkan, pihaknya akan memfailkan permohonan itu mengikut Seksyen 173(g) Kanun Prosedur Jenayah (CPC). Ujar beliau, pembelaan juga akan mengemukakan permohonan rasmi agar pasport Muhyiddin yang kini ditahan oleh mahkamah, dikembalikan selain menulis kepada pihak pendakwaan bagi mendapat persetujuan berhubung pelepasan pasport. “Kami akan memfailkan kedua-dua permohonan bertulis itu secepat mungkin,” ujarnya pada prosiding di hadapan Hakim Azura Alwi. Muhyiddin tidak hadir hari ini. Mahkamah sepatutnya mendengar permohonan pihak pendakwaan hari ini agar kesemua tujuh pertuduhan yang dihadapi oleh Muhyiddin, 76, melibatkan kes menggunaka

A person who loves writing, loves novels, and loves life.Seeking objective truth, hoping for world peace, and wishing for a world without wars.
Muhyiddin mohon tiga pertuduhan pengubahan haram dibatalkan

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengemukakan permohonan di Mahkamah Sesyen di sini agar tiga pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM200 juta berkaitan Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) yang dihadapinya, digugurkan.

Peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Muhyiddin memaklumkan, pihaknya akan memfailkan permohonan itu mengikut Seksyen 173(g) Kanun Prosedur Jenayah (CPC).

Ujar beliau, pembelaan juga akan mengemukakan permohonan rasmi agar pasport Muhyiddin yang kini ditahan oleh mahkamah, dikembalikan selain menulis kepada pihak pendakwaan bagi mendapat persetujuan berhubung pelepasan pasport.

“Kami akan memfailkan kedua-dua permohonan bertulis itu secepat mungkin,” ujarnya pada prosiding di hadapan Hakim Azura Alwi. Muhyiddin tidak hadir hari ini.

Mahkamah sepatutnya mendengar permohonan pihak pendakwaan hari ini agar kesemua tujuh pertuduhan yang dihadapi oleh Muhyiddin, 76, melibatkan kes menggunakan kedudukan dan pengubahan wang haram, dibicarakan secara bersama.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memohon agar permohonan bicara bersama itu ditangguhkan pada tarikh lain ekoran keputusan Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Muhyiddin daripada empat pertuduhan salah guna kuasa.

Pada 15 Ogos lalu, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dilepas dan dibebaskan daripada empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM232.5 juta.

Beliau memaklumkan, pihak pendakwaan memfailkan notis rayuan terhadap pembebasan Muhyiddin pada 15 Ogos lalu manakala petisyen rayuan difailkan di Mahkamah Rayuan hari ini.

Ujar Wan Shaharuddin, pengurusan kes rayuan tersebut telah ditetapkan pada 27 September ini.

Sehubungan itu, Azura menetapkan sebutan kes pada 29 November ini bagi mengetahui status rayuan di Mahkamah Rayuan serta perkembangan permohonan Muhyiddin untuk mengetepikan ketiga-tiga pertuduhan AMLA.

Dalam pada itu, Hisyam tidak membantah tarikh sebutan dan memohon kehadiran Muhyiddin dikecualikan pada tarikh tersebut.

Bagaimanapun, Azura berpendapat, mahkamah akan menunggu status rayuan di Mahkamah Rayuan terlebih dahulu sebelum beliau membenarkan permohonan pengecualian kehadiran tertuduh.

Pada 10 Mac lalu, Muhyiddin selaku Presiden Bersatu didakwa atas dua pertuduhan iaitu menerima RM120 juta dan RM75 juta daripada sebuah syarikat yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank milik parti itu di CIMB Bank Cawangan Menara KL, Jalan Stesen Sentral, di sini, antara 25 Februari 2021 dan 8 Julai 2022.

Pada 13 Mac pula, Muhyiddin didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas satu pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM5 juta di AmBank cawangan Amcorp Mall, Petaling Jaya dekat sini, pada 7 Januari 2022.

Ahli Parlimen Pagoh itu didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) Akta yang sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, yang mana yang lebih tinggi.-UTUSAN

The post Muhyiddin mohon tiga pertuduhan pengubahan haram dibatalkan appeared first on Utusan Malaysia.

What's Your Reaction?

like

dislike

love

funny

angry

sad

wow